Status Harian

19 Nov 2017, Sunday
09:59 PM

Sunyi suasana di dalam bilik isolasi ini. Sesekali menjamah dahi dan badan Raziq. Terasa dedar sahaja terus ibu semburkan air ke seluruh badan beliau. Setiap kali itulah beliau merengek dengan suara yang sudah hampir hilang. Sayu teramat bunyinya seakan-akan menanggung derita yang begitu besar.

Tiba-tiba kerinduan datang menyapa. Allahyarham abah. Sungguh, beliau bukan seorang ayah yang sempurna. Amat tidak sempurna. Seperti diri ini yang sudah bergelar ibu, kumengerti betapa sukar menjadi seorang ibu atau ayah yang sempurna buat anak-anak.

Kerana itulah, anak ini mendoakan syurga buatmu, abah. Dengan segala kesengsaraan dan derita yang ditanggung oleh dirimu ketika hayatmu, kumemohon agar Allah mengasihimu lalu menganugerahi syurga buatmu.

Terima kasih abah. Sentiasa menjadi abah yang tidak membezakan anak lelaki atau perempuan. Anak perempuan mesti berjaya dan berdikari kata abah. Malah boleh setanding lelaki. Biar kini anak perempuan abah ini hanyalah seorang surirumah dan masih belum berjaya seperti yang abah harapkan, anak perempuan abah kini seorang ‘geek’. Bolehlah tu, kan?

Dari jauh kukirimkan rindu, buat abah yang kini bersemadi di alam yang tidak mampu dijengah oleh insan-insan bernyawa selagi belum tiba masanya.

Top