Status Harian

17 Sep 2017, Sunday
12:32 PM

Hari semalam kami sekeluarga ke Tesco.

Selesai membuat bayaran di kaunter, seorang makcik datang mendekat lalu beria-ia menilik adik yang berada di dalam patapum soft-structured carrier (digendong ibu) beserta kakaknya yang aktif ke hulu ke hilir namun masih berada di dalam radar di mana ibu dan ayah berada.

Barangkali risau disalahtafsir, beliau menjelaskan tertarik mahu menengok kerana kakak dan adik amat ketara kelihatan baya cucu-cucunya. Beliau bertanyakan usia kakak dan adik, kami pun jawab kakak berusia 3 tahun manakala adiknya 5 bulan.

"Hah, betul-lah! Sama dengan cucu-cucu makcik. Yang kakaknya 3 tahun, adiknya 5 bulan."

Tersenyum kami.

Namun yang tidak disangka-sangka, keluar sahaja dari Tesco menuju ke tempat letak kereta, sanggup makcik itu mengejar ibu semata-mata mahu menghulurkan duit untuk adik. Ya, Allah! Terharu yang tidak terkata.

Kata beliau cucunya yang berusia 5 bulan itu lahir pada 6 April. Masya-Allah, satu kebetulan yang hebat. Kerana tarikh itu juga ialah tarikh kelahiran si adik ini.

Begitulah, Allah hadirkan manusia-manusia yang amat baik hatinya di sekeliling kita, agar menjadi contoh tauladan untuk kita pula ikuti.

Top