Coretan Kosong Seorang Penganggur

Cerita Lama


arkib
#personallife

Sudah hampir dua bulan aku menganggur. Sepanjang dua bulan ini ada beberapa temuduga yang telah aku hadiri. Tidaklah banyak dan keputusan daripada salah satu temuduga-temuduga yang aku hadiri memberikan aku peluang untuk turut serta melibatkan diri dalam ‘training’ selama lima hari yang dinamakan ‘Chacacter and Attitude Training’ (CATT). Usai latihan ini aku menunggu panggilan daripada syarikat yang dikatakan akan membuat panggilan untuk ditemuduga tetapi masih tiada panggilan yang diterima.

Ahad lepas aku menghadiri sesi temuduga santai yang diadakan di Starbucks. Temuduga santai ini dinamakan ‘Coffee and Tea Party and Socialising’ (CATPAS) yang memerlukan aku dan ratusan calon lain ‘menjual diri’ kepada ‘Maybankers’. Jika kami berjaya membuatkan mereka kagum maka kami akan dipanggil untuk sesi temuduga akhir di ‘Maybank HQ’. Salah seorang rakanku yang turut serta dalam temuduga ini telah berjaya dipanggil untuk temuduga akhir di ‘Maybank HQ’. Alhamdulillah dan tahniah buat dirinya.

Aku? Masih belum menerima panggilan. Barangkali tidak berjaya atau masih terlalu awal untuk membuat ramalan begini. Jika tidak berjaya sekalipun aku tidaklah berpatah hati kerana aku yakin telah mencurahkan sepenuh usaha dan komitmen untuk temuduga ini biarpun ada juga sedikit sebanyak merasa kecewa. Sekurang-kurangnya, aku berbesar hati menerima komentar salah seorang ‘Maybankers’ yang aku kira satu ‘acknowledgement’ buat diriku. Sangkanya aku tidak fasih berbahasa Melayu disebabkan oleh loghat ‘American’ku. (Sungguh hampir meledak tawaku mendengarkan komentar beliau. Oh, sepanjang aku hidup bahasa Melayulah bahasa tuturku dan bahasa inilah yang dekat dengan jiwaku. Dengan bahasa inilah aku membesar. Mana mungkin aku tidak fasih berbahasa Melayu?)

Waktu ini fikiranku melayang-layang. Banyak perkara yang bermain di mindaku. Ada merasakan sedikit tekanan memikirkan adikku yang bakal menyambung pengajian dan luahan ibuku yang bimbang dengan tanggungannya yang masih berat sedang aku masih belum bekerja.

Dan bila tekanan melanda diri, bermacam-macam perkara yang bermain di minda. Ketika keluar menyidai kain di ampaian, aku pandang keadaan sekeliling. Ah… Sampai waktunya semua ini akan hancur lebur, berkecai dengan sendirinya apabila sampai titah-Nya nanti. Biarpun sedar akan keadaan ini, aku masih di sini. Ada ketika waktu sengaja lalai dengan urusan dunia yang sementara ini.

Aku perhatikan pula anak-anak muda di atas motor yang berkumpul dan asyik berborak sesama mereka. Tidak sekolahkah mereka hari ini? Ahh… Cuti sekolah rupanya… Adikku yang masih bersekolah sedang menonton televisyen waktu ini. Entah apalah yang dibualkan mereka. Memerhatikan mereka spontan mengingatkan aku kepada seorang remaja lelaki Melayu Muslim yang pernah ditemubual oleh aku dan rakan-rakan demi menjayakan satu projek yang wajib kami siapkan ketika masih dalam tahun pengajian di UIA. Pengakuannya sungguh membuatkan hatiku merasa hancur.

Aduh anak muda… Apalah yang kau lakukan waktu ini…? Masih tegar meneguk minuman keraskah engkau waktu ini…? Ku congak-congak umurnya sekarang. Dia pasti bakal menghadapi SPM tahun ini sekiranya berjaya melepasi PMR.

(Aku secara tiba-tiba tidak punya hati untuk meneruskan tulisanku. Segala-galanya bercampur aduk. Mungkin cerita ini bakal bersambung di kemudian waktu.)

Updated on 01 May 2017: This post was written when I was a very-young lady. It will never be updated or modified more than currently preserved.

Kali terakhir halaman ini dikemaskini/disemak semula adalah pada .
Top