bersama catatan peribadi & teknikalnya.

Thank You, Allah

Cerita Lama


arkib
#personallife

Jumaat berlalu pergi dengan pelbagai kenangan yang takkan dilupa. Perasaan bercampur aduk. Seronok, lega, cuak, panik, geram, malu, macam-macamlah. Huh! Tapi itu semua memberi aku pengalaman yang bernilai.

Masa 3 jam yang terbazir ketika menunggu waktu berlepas aku rasakan terlalu lama. Sungguh aku penat. Otak terasa berat. Untuk menghilangkan rasa bosan menunggu berseorangan, aku baca buku yang aku beli di LCCT. Buku itu sekejap aku selak dan baca sekejap aku tutup. Ada ketika aku perhatikan orang yang lalu lalang tanpa perasaan. Waktu itu aku cuma berharap dan mahu berada di Malaysia seberapa segera.

Mujur, tidak lama selepas itu, ada wanita yang duduk di sebelahku ramah bertanya sama ada aku tahu tentang waktu berlepas dan pintu masuk untuk penerbangan ke Manila. Aduh, pintu masuk tidak tercetak di tiket tersebut. Aku jujur mengatakan aku tidak tahu. Kami kemudian berkenal-kenalan dan bertukar-tukar pelbagai cerita mengenai perbezaan agama, budaya, hidup, dan pendidikan.

Sama seperti aku, dia juga berseorangan. Dia tampak masih sangat bertenaga, biarpun sudah berusia 68 tahun. Seorang warga New Zealand, mempunyai seorang anak lelaki dan dua orang cucu. Suaminya tidak mengikut sekali. Mengenalinya aku kira satu anugerah dari Allah. Wanita itu sangat baik. Aku tidak tahu apa pekerjaannya sebelum pencen. Yang pasti seorang majikan kerana dia menyebut dan bercerita tentang pekerja-pekerjanya. Mulutnya ramah bercerita pengalaman ketika bekerja selama 6 tahun di Saudi Arabia. Bukan itu sahaja, dia juga tidak lokek berkongsi ilmu tentang perbezaan perkataan-perkataan ‘Arab’ yang digunakan di Bahrain dan Saudi Arabia. Dia boleh berbahasa Arab walaupun bukan seorang Muslim. Dan dia boleh berbahasa ‘Tagalog’! Aku mengagumi dalam diam. Aku juga berkongsi ilmu dengannya beberapa perkataan Melayu yang ditanya olehnya.

Hampir pukul 8.40 malam, aku meminta izin untuk meninjau skrin di pintu masuk bagi penerbangan ke Malaysia. Waktu berlepas ditangguh selama 10 minit. Aku lalu memberitahu wanita berkenaan mengenainya. Dia sedikit terkejut sambil bertanya seawal itu penerbanganku? Ada riak sedih di wajahnya. Bila pintu masuk dibuka, aku meminta izin untuk mengundur diri. Aku memberi kebenaran untuknya menyimpan sekeping gambarku buat kenang-kenangan. Sebelum beredar, dia menyatakan harapan agar dapat bertemu aku lagi suatu hari nanti. Ya, aku juga mengharapkan yang sama. Dan aku merasa berat untuk meninggalkannya. Walhal, berlepas balik ke Malaysia secepat yang mungkinlah satu-satunya harapanku sebelum bertemu dengannya. Namun perjalanan mesti diteruskan. Perjuangan belum terhenti. Masih jauh dan terlalu panjang, andai nyawa masih sudi menjadi teman untuk mengharungi liku-liku perjuangan-perjuangan itu.

Ketika berada di dalam pesawat, juruterbang membuat penguguman tentang keberangkatan penerbangan dalam masa 10-15 minit. 10 hingga 15 minit yang diberitahu bertukar menjadi sejam lamanya. Perutku memulas kerana lapar dan aku tahu, sedikit masa lagi andai perut tidak diisi aku bakal mengalami gastritis. Allah… Aku berdo’a agar perkara itu tidak terjadi. Tidak di dalam penerbangan ini dan aku tidak mahu menerima suntikan akibat muntah yang tidak berhenti-henti. Aku mengalas perut dengan sepotong kek yang diberi oleh ’trainer’ku sebelum ‘check in’ di kaunter.

Alhamdulillah, setelah selamat sampai di LCCT, aku mencari tempat makan yang ada. Perasaan bersalah menghantui sejak menunggu waktu berlepas kerana aku tidak memberitahu ibu tentang keberangkatanku ke Singapura kali ini. Aku capai telefon bimbit dan berterus-terang tentangnya, bimbang jadi anak derhaka. Sudahku agak, ibu terkejut dan risau memandangkan masa sudah menginjak ke 1 pagi. Tambah pula aku berseorangan. Aku memujuk dan meyakinkan ibu yang aku akan selamat. Allah Maha Pelindung kataku.

Aku menuju ke kaunter McD dan membuat tempahan ayam goreng. Elok-elok sebelum aku menyuap secarik daging ayam, telefon bimbit berbunyi dengan nama adikku tertera di skrin telefon berkenaan. Aku tahu habuan apa yang bakal aku terima akibat tindakan bodohku tidak memberitahunya tentang penerbanganku ini. Aku menghela nafas panjang sebelum menjawab panggilan. Sudah kujangka, berdesing telingaku mendengar suara tegasnya bertanya mengapa tidak memberitahu itu ini itu ini…! Berkali-kali dimarahinya aku dengan mengatakan yang dia akan menjemputku sekiranya aku mengkhabarkan mengenainya terlebih awal. Aduhai… Aku sangat lapar dan penat. Ini pula yang aku dapat. Aku kemudian teremosi dengan kemarahannya dan mengakhiri panggilan dengan cara yang keras. Hilang selera untuk makan. Tapi aku gagahi jua menyuap secarik demi secarik daging ayam demi perut yang tidak mahu berhenti merayu minta diisi. Setitik, dua titik, air mataku jatuh.

“Halamak! Ni apehal pulak tetiba ada air mata yang gugur ni? Haduh.. Raihan… Janganlah kau buat drama di sini.. Kang ada jugak malu yang hang dapat kang kalau orang tengok…” Aku bermonolog dalaman dan berpura-pura menguap bagi menutup tangisanku itu. Maka setiap orang yang lalu lalang dan kemudian memandangku aku sedekahkan senyuman manis biarpun air mata masih berguguran.

Seketul lagi ayam yang tidak disentuh aku bungkus dan kemudian ke kaunter penjualan tiket bas ke KL Sentral. Aku cuma berharap KL Sentral tidak terlalu lengang. Malam semakin larut. Hampir pukul 2 pagi baru aku sampai di KL Sentral. Melihat KL Sentral yang lengang dengan pemandu-pemandu teksi yang rakus menawarkan khidmat menghantar pulang sedikit sebanyak membuatkanku panik dan cemas. Aku melarikan diri ke ruangan tengah KL Sentral, ke bilik air dan kemudian tenang menuju ke perhentian teksi di hadapan hotel Hilton. Sekurang-kurangnya pemandu-pemandu teksi yang ada di situ tidak rakus mengejar orang meminta menaiki teksi mereka.

Dengan potongan do’a-do’a dan ayat Qursi yang tidak henti-henti dibaca, Alhamdulilllah, Allah memudah dan menyelamatkan perjalananku. Hanya pada-Mu tempat kami memohon perlindungan. Wanita itu, Zenaida Jefferson namanya, yang berjanji akan menghubungiku melalui e-mel, akan aku kenang sepanjang hayatku. Jika sedikit masa aku tidak menerima sebarang e-mel darinya, maka aku akan berusaha untuk menghubunginya pula. InsyaAllah, jika Allah izikan, aku pasti bertemunya lagi suatu hari nanti. Mudah-mudahan…


Kali terakhir dikemaskini:
Top